Festival Filem Malaysia


TAHUN ini Festival Filem Malaysia (FFM) mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila buat pertama kalinya ia diadakan di luar Semenanjung Malaysia.

FFM22 yang akan diadakan di Dewan Cancelor, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, pada 8 Ogos ini pukul 8.30 malam menyebabkan pihak penganjur cukup sibuk menguruskan pelbagai keperluan logistik untuk festival itu.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) selaku penganjur bersama FFM22 misalnya, terpaksa menyediakan tiket penerbangan dan hotel penginapan untuk para delegasi yang diterbangkan dari Kuala Lumpur (KL).

Hits difahamkan, hampir 630 delegasi termasuklah pelakon dari KL akan ditaja dan dibawa ke ibu negeri Sabah itu bagi menjaya serta memeriahkan lagi festival yang mengiktiraf para karyawan perfileman tanah air itu.

Bagaimanapun, pada saat-saat akhir ada di kalangan artis seperti pelakon yang dikatakan menarik diri daripada menyertai delegasi itu kerana terikat dengan komitmen lain seperti menjalani penggambaran di lokasi sekitar ibu negara.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Malam Anugerah FFM22, Ahmad Puad Onah berkata, beliau berasa kesal apabila diberitahu perkara seperti itu timbul biarpun pada asalnya semua pihak terbabit sudah bersetuju hadir bagi menjayakan festival tersebut.

"Saya kesal kerana setakat ini semua tiket penerbangan yang kami sediakan sudahpun diambil oleh para delegasi termasuklah pelakon dan penerbit filem.

"Tetapi saya dengar masih ada yang mahu menarik diri kerana kononnya terikat dengan penggambaran drama atau filem. Saya kesal kerana tiket penerbangan dan hotel sudahpun ditempah dan ia dipersetujui oleh mereka ini.

"Bukannya senang untuk mendapatkan penaja dan kita telah mengeluarkan banyak belanja untuk tujuan tersebut," katanya ketika dihubungi dari Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Terjejas

Sehubungan itu, beliau telah berbincang dengan Ketua Pengarah (KP) Finas iaitu Mohd. Mahyidin Mustakim supaya delegasi yang sudah mengesahkan kehadiran pada FFM22 dikenakan denda berbentuk bayaran wang tunai jika mereka menarik diri pada saat-saat akhir.

Menurut Ahmad Puad yang juga Presiden Gafim, tindakan itu sebagai suatu pengajaran supaya kemeriahan FFM22 tidak terjejas selain memastikan setiap delegasi memberi komitmen penuh dalam menjayakan festival itu.

"Saya sudah pun berjumpa dengan KP Finas dan mencadangkan supaya mana-mana delegasi yang menarik diri di saat-saat akhir supaya mereka ini dikenakan penalti sebanyak RM1,000 sebagai ganti rugi tersebut.

"Kita bersusah payah menaja tiket penerbangan dan hotel tetapi segelintir mereka ini senang-senang sahaja menarik diri. Antara alasannya ialah mereka masih menjalani penggambaran drama atau filem.

"Saya juga kesal kerana pihak penerbit atau pengarah tidak memberi kerjasama supaya memberi pelepasan kepada para pelakon bagi membolehkan mereka hadir pada festival ini yang diadakan setahun sekali," ujarnya.

Beliau juga difahamkan ada di kalangan pelakon yang menarik diri itu selepas mendapati nama mereka tidak tersenarai sebagai finalis pada festival yang turut dijayakan oleh Kerajaan Negeri Sabah itu.

Sementara itu, FFM22 yang bertemakan Filem Malaysia Ke Persada Dunia pula katanya, akan digunakan untuk tempoh tiga kali penganjuran festival itu yang diiktiraf oleh kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Ahmad Puad menyifatkan tema atau moto itu relevan dalam usaha untuk menggalakkan para pembikin filem tempatan berusaha menghasilkan filem-filem bermutu yang mampu menerjah hingga ke pasaran antarabangsa.

"Kami memang ada mendengar suara-suara sumbang yang memandang sinis moto tersebut. Tetapi berilah kita tempoh tiga tahun. Mungkin dalam tempoh itu akan ada filem-filem kita yang mampu untuk mencapai tahap tersebut," katanya.

Selaku penganjur bersama FFM22, festival itu tambahnya bukan setakat memberi pengiktirafan kepada para karyawan filem tetapi banyak juga aktiviti yang sudah diatur untuk para peminat di sekitar Kota Kinabalu dari 5 hingga 8 Ogos ini.

Antaranya tayangan filem percuma yang akan diadakan mulai 6 hingga 8 Ogos ini di pawagam GSC, 1 Borneo, Kota Kinabalu di mana 20 filem akan ditayangkan pada sesi tersebut.

Filem-filem percuma yang akan ditayangkan berjudul Talentime, Antoo Fighter, Sifu & Tongga, Budak Kelantan, Kami The Movie, Los Dan Faun, Maut, Syurga Cinta, Geng: Pengembaraan Bermula, Senario The Movie dan Cicak-Man 2.

Source: Utusan Malaysia

Linktree: Beruntung betul penggiat dan pembikin filem Malaysia. Dapat sponsors untuk pegi festival filem malaysia, tapi yang peliknya sesetengah dari mereka ni tak kenal dek untung. Kesian penganjur, mereka dah berusaha sebaik baik untuk Festival Filem Malaysia ni. Tapi ada juga yang tak nak pegi. Nak tanya skit dekat pelakon dan pembikin filem Malaysia ni, kalau tak ada sponsor nak pegi ker?

Lepas tuh, tagline for this year 'Filem Malaysia Ke Persada Dunia'. Jangan cakap jer, memang filem Malaysia ada yang ke persada dunia, tapi banyak yang tak bertaraf dunia. Dan nak ke persada dunia serta bertaraf dunia, mentaliti dan cara kerja kenalah bertaraf dunia.

0 comments: